Romelu Lukaku berkata dia cuma berlawak ketika meraikan gol dengan meletakkan telapak tangan di telinganya selepas menyumbang gol ketiga Manchester United dalam kemenangan 4-0 ke atas Everton. malam tadi.

United menghukum Everton dengan tiga gol dalam tempoh tujuh minit selepas Antonio Valencia meledak gol pembukaan seawal minit keempat.

Lukaku menjadi penyumbang kepada gol kedua jaringan Henrikh Mkhitaryan sebelum penyerang Belgium itu menyumbat gol ketiga dengan Anthony Martial melengkapkan malam yang malang buat The Toffees dengan gol keempat menerusi sepakan penalti.

Lukaku meraikan golnya dengan penuh bergaya, namun dia menafikan tindakannya itu adalah dengan niat melakukan provokasi terhadap penyokong Everton.

"Saya berjaya menyumbang satu gol dan gembira dengan kemenangan ini," dia memberitahu Sky Sports.

"Saya meraikan gol dengan cara itu kerana ketika saya gagal menyempurnakan sepakan percuma, mereka bersorak nama saya."

Meskipun meledak tiga gol di hujung permainan, United beraksi hambar sepanjang perlawanan, terutama dalam babak kedua dan Lukaku mengakui mereka sepatutnya mengesahkan kemenangan lebih awal.

"Kami sepatutnya meledak gol awal," tambahnya.

"Percubaan kami agak tumpul hari ini. Everton menyukarkan pergerakan di bahagian tengah padang."