Penyerang Everton, Romelu Lukaku, telah ditabalkan sebagai Pemain Terbaik untuk bulan Mac.

Pemain kebangsaan Belgium, Lukaku, berada di tahap terbaik beraksi di bawah kendalian Ronald Koeman -- meledak empat gol, dengan dua gol hadir ketika menewaskan Hull City 4-0.

Lukaku merupakan penjaring terbanyak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 21 gol, juga turut menghasilkan bantuan jaringan buat beberapa minggu ini untuk menghidupkan harapan Everton menamatkan saingan di kelompok empat terbaik.

"Saya sangat gembira dengan anugerah ini, ia memberikan saya satu semangat untuk terus mempamerkan aksi cemerlang," katanya.

"Saya berpendapat kami membuat persediaan yang berbeza menghadapi perlawanan berdepan Liverpool tahun ini, kami mengharungi perlawanan antarabangsa tetapi kami tidak terlalu berbincang mengenai perlawanan ini.

"Kami bermain dengan baik buat beberapa minggu ini, saya berharap dapat meneruskan momentum ini ketika bertemu Liverpool."

Gandingan Bournemouth, Artur Boruc dan Josh King, merupakan antara pemain yang hampir memintas Lukaku untuk mendapatkan anugerah ini, dengan pengendali pasukan, Eddie Howe, dipilih sebagai pengurus terbaik selepas meraih tujuh mata ketika berdepan Manchester United, West Ham dan Swansea City.