Kehadiran Romelu Lukaku di Manchester United akan memberi rangsangan di bahagian serangan yang diperlukan pasukan itu dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut Juan Mata.

Pemain Sepanyol itu berada di Chelsea bersama-sama dengan Lukaku dan pengurus, Jose Mourinho, sebelum penyerang itu menyertai Everton, di mana United dilaporkan sedia membayar yuran perpindahan bernilai GBP75 juta ke atas tonggak antarabangsa Beligum itu.

Lukaku sedang berlatih bersama-sama Paul Pogba di Los Angeles, Amerika Syarikat, sekaligus meningkatkan spekulasi mengenai masa depannya.

"Kami beraksi bersama-sama di Chelsea dan dia mengharungi beberapa musim hebat di Everton," kata Mata kepada Marca.

"Kami amat mengenali jurulatih dan menyumbat banyak gol, di mana kami berharap dia akan meneruskannya dan cuba memenangi liga."

Mourinho dilaporkan kecewa dengan aktiviti perpindahan di Old Trafford yang lembab -- pemain pertahanan Benfica, Victor Lindelof, merupakan satu-satunya muka baru setakat ini -- namun, Mata percaya pengurus Portugis itu sudah bersedia dalam perancangan untuk berdepan Real Madrid dalam saingan Piala Super UEFA, 8 Ogos depan.

"Jose sudah memikirkan mengenai final sejak Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara Eropah ," kata Mata.

"Jurulatih sudah memikirkan trofi sebaik mengambil alih jawatan di United.

"Sekalipun Zinedine Zidane melalui musim yang mengagumkan, kami akan cuba mencetuskan masalah buat mereka.

"Kami beraksi dengan sangat baik dalam perlawanan akhir Liga Europa dengan Ajax. Kejayaan itu membuka laluan buat kami ke saingan Liga Juara-Juara."