Romelu Lukaku menegaskan bahawa hubungannya dengan Jose Mourinho sempurna walaupun pengurus Manchester United itu mengatakan dirinya tidak layak untuk memulakan perlawanan ketika pasukannya tewas 1-0 kepada Chelsea dalam final Piala FA di Wembley, 20 Mei lalu.

Lukaku sedang membuat persediaan untuk Piala Dunia bersama Belgium berikutan penamat penuh kecewa dalam penampilan musim pertamanya di Old Trafford.

Selepas berpindah dari Everton dengan yuran £75 juta (RM397 juta), pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan 27 gol dalam semua pertandingan sebelum mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Arsenal.

Ia membuatkan Lukaku terlepas tiga perlawanan terakhir Liga Perdana dan dia diperkenalkan sebagai pemain gantian dalam final di Wembley, di mana United gagal memadam jaringan penalti oleh Eden Hazard untuk tewas 1-0.

"Apabila pemain beritahu kamu dia tidak sedia bermain, apabila pemain beritahu kamu dia tidak sedia untuk memulakan perlawanan, maka persoalannya adalah berapa minit yang kamu fikirkan dia boleh," kata Mourinho selepas itu.

"Bagaimana saya dapat yakinkan pemain yang beritahu saya dia tidak sedia bermain? Itu tidak masuk akal."

Bercakap dalam sidang media di kem latihan Belgium sebelum Piala Dunia, hari ini, Lukaku menyuarakan versi lain di mana Mourinho mempunyai kuasa untuk membuat keputusan selepas kedua-duanya membincangkan mengenai tahap kecergasan dalam latihan.

"Saya tidak kelihatan bagus dalam latihan. Jadi ia keadaan sukar," katanya. "Sudah tentu, saya dan pengurus itu mengadakan perbincangan dan dia yang membuat keputusan.

"Tetapi kami berbual selepas perlawanan itu di mana kami berdua kecewa kami kalah.

"Saya tahu saya ada baka, tetapi bagi saya, ia adalah mengenai kerja yang saya lakukan setiap hari dengan kelab saya. Saya cuba memperbaiki diri saya setiap hari dan belajar daripada perlawanan masa lalu saya.

"Saya fikir ia adalah satu musim yang baik tetapi sebagai satu pasukan, kami tidak memenangi apa-apa. Itulah yang menyakitkan."