Romelu Lukaku menyifatkan kemenangan 4-0 ke atas West Ham United dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017/18 adalah 'satu permulaan yang hebat' buat Manchester United.

Penyerang Belgium itu menyertai United dari Everton pada Julai lalu menerusi perpindahan bernilai GBP75 juta (RM418 juta) dan terus mencetuskan impak di Old Trafford apabila menjaringkan dua gol awal buat The Red Devils ketika menentang West Ham sebelum Anthony Martial dan Paul Pogba melengkapkan malam gemilang buat skuad kendalian Jose Mourinho.

Kemenangan itu menyaksikan United berada di tangga teratas pada minggu pertama EPL dan Lukaku yakin akan potensi yang ada pada pengurus serta rakan sepasukannya.

“Ia hanya satu permulaan, pengurus mempunyai perancangan. Kami akan cuba mengikutinya dan berharap agar ia mampu menjelmakan kejayaan buat kami.

“Amat teruja apabila beraksi di hadapan penyokong yang ramai dan paling penting, kami mencatatkan kemenangan dan peminat akhirnya dapat menyaksikan aksi yang menarik daripada pasukan.

“Mourinho mahukan saya mengetuai pasukan, kami bekerja keras sewaktu latihan dan ia berbaloi,” ujar Lukaku.

Dalam masa sama, seorang lagi pemain baru United, Nemanja Matic, turut melakukan penampilan pertama di Old Trafford dan berjaya melakukan halangan sehingga mencetuskan gol pertama pasukan sambil memuji aksi gandingannya di bahagian tengah, Paul Pogba.

“Ia adalah kemenangan penting buat kami dan untuk perlawanan seterusnya, kami akan bermula dengan penuh keyakinan.

“Pogba menampilkan aksi yang hebat dan bukan hanya Pogba tetapi seluruh pasukan mempamerkan aksi yang dituntut oleh Mourinho serta penyokong United.

“Kami harus mengekalkan aksi sebegini dan terus berusaha keras,” kata Matic.