Penyerang Belgium, Romelu Lukaku, telah didakwa di Los Angeles minggu lalu atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam dan perbicaraan kes itu dijadualkan pada 2 Oktober di mahkamah Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Beverly Hills, Lukaku yang kini dalam proses melengkapkan perpindahannya ke juara Liga Europa musim lalu, Manchester United, menghadapi tuduhan pada 2 Julai 2017.

Pihak polis juga menjelaskan pemain berusia 24 tahun itu tidak ditangkap, namun diberikan amaran lisan selepas turut menerima lima lagi aduan orang ramai mengenai gangguan bunyi yang datang dari kediaman yang disewa Lukaku.

Penyerang itu dijadualkan tampil di mahkamah sewaktu United bakal bertemu Crystal Palace (30 September) dan ia turut melibatkan skuad kebangsaan Belgium yang turun menentang Bosnia-Herzegovina (7 Oktober) dan Cyprus (10 Oktober).

“Tepat jam 8 malam pada tarikh 2 Julai 2017, pegawai polis Beverly Hills telah menerima aduan yang melibatkan individu bernama Romelu Lukaku Bolingoli,” kata satu kenyataan polis.

“Lukaku menerima saman kecil dan ia disusuli dengan lima lagi aduan di lokasi sama sehingga menyebabkannya diberikan amaran lisan.

“Gangguan ketenteraman awam itu dilaporkan dari kediaman yang disewa oleh Lukaku dan dia disaman tanpa sebarang tangkapan,” tambahnya.