Romelu Lukaku memahat namanya dalam sejarah Everton apabila mendahului senarai penjaring sepanjang zaman kelab itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas meledak gol ketika menentang Tottenham, malam tadi.

Pemain antarabangsa Belgium itu menyamai rekod legenda Toffees, Duncan Ferguson, apabila dia menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas skuad yang diancam penyingkiran, Sunderland, hujung minggu lalu.

Selepas itu, Lukaku berada di depan dengan gol EPL ke-61 buat Everton di White Hart Lane, dengan menewaskan rakan senegara, Jan Vertonghen, sebelum menemui sasaran di penjuru kiri untuk mengecewakan Hugo Lloris.

Jaringan itu merapatkan kedudukan 2-1, sebelum Spurs kemudiannya menamatkan perlawanan 3-2 selaku pemenang.

Rekod Ferguson tidak terusik sejak pemain itu menggantung butnya pada akhir musim 2005-06, 12 tahun selepas menjaringkan gol pertama dalam EPL untuk Everton ketika menentang pesaing Merseyside, Liverpool, pada November 1994.