David Luiz tidak memiliki perancangan untuk meninggalkan Chelsea kerana menikmati tempoh beraksi di bawah kendalian ketua jurulatih baru, Maurizio Sarri, di Stamford Bridge.

Pertahanan Brazil, Luiz, telah diketepikan oleh bekas pengendali, Antonio Conte, pada musim terdahulu tetapi dia kembali beraksi di bawah pimpinan Sarri.

Sarri memulakan karier bersama Chelsea dengan kemenangan ke atas Perth Glory di Australia dan mengatasi Inter menerusi penentuan sepakan penali dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) -- Luiz mengetuai jentera pertahanan Chelsea dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

Pemain berusia 31 tahun itu kembali menyertai Chelsea pada 2016 berharap untuk terus kekal bersama pasukan.

"Saya mahu terus kekal bersama Chelsea," katanya.

"Saya mengambil keputusan untuk meninggalkan Paris kerana mahu memenangi Liga Perdana Inggeris bersama The Blues. Saya sangat gembira di sini.

"Saya menggemari pendekatan Sarri. Kami mengawal permainan dan beliau mengajar kami sesuatu yang baru setiap hari."