Pemain pertahanan Chelsea, David Luiz, dijulang sebagai wira oleh pengurusnya, Antonio Conte, selepas memberi anak buahnya menikmati cuti minggu ini susulan jadual padat yang telah diharungi mereka.

Luiz menjadi tunjang bagi sistem tiga pemain pertahanan The Blues -- digandingkan bersama-sama Gary Cahill dan Cesar Azpilicueta -- di sebalik bergelut dengan kecederaan lutut.

Bagaimanapun, situasi itu tidak menghalangnya daripada melakukan jaringan menerusi sepakan percuma yang disudahkan dari jarak 30 ela ketika seri 1-1 dengan Liverpool, bulan lalu.

"Lantaran itu, Conte memuji komitmen yang diberikan pemain Brazil itu.

"Dia bermain dengan lututnya mengalami kecederaan ringan tapi dia adalah seorang pejuang," kata Conte menjelang kunjungan ke Burnley, esok.

"Dia bermain dengan sangat baik dan saya berharap dia dapat menerusikan aksi sebegini. Dia mempamerkan sikap dan keinginan untuk berjuang biarpun ada kalanya mengalami kesakitan."

Sempena pertembungan di Turf Moor esok, Conte membenarkan pemain-pemain berehat lebih panjang selepas perlawanan dengan Liverpool dan Arsenal.

Pengurus dari Itali itu menggunakan kesempatan tersebut untuk terbang ke Turin bagi menonton perlawanan Serie A membabitkan bekas kelabnya, Juventus bertemu Inter Milan, dan dia menekankan kepentingan untuk mendapatkan rehat yang cukup dalam tempoh sibuk.

"Selepas bertemu Arsenal, saya mahu memberi mereka rehat lebih sehari kerana saya berpendapat mereka berhak untuknya selepas mengharungi minggu intensif dengan tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari," ujarnya lagi.

"Ini penting. Terdapat detik-detik berbeza -- ada masanya anda perlu benar-benar dikerah dan saya berasakan musim ini mereka melaluinya dalam kebanyakan masa.

"Ada kalanya, adalah penting untuk dapat bercuti dengan bersantai atau meluangkan masa dengan keluarga dan kembali dengan lebih segar.

"Kalau mereka ingin ke luar negara, tak mengapa. Apa yang penting, mereka kembali dengan cara dan sikap yang betul."