Lucas Moura menjangkakan Leonardo mampu menangani situasi di Paris Saint-Germain (PSG) di celah-celah ketidakpastian yang melingkari masa depan Neymar.

Bintang Brazil, Neymar, berhasrat untuk meninggalkan Parc des Princes dan kembali ke Sepanyol dengan menyertai Barcelona ataupun Real Madrid.

Walaupun mendesak untuk berpindah, namun Pengarah Sukan, Leonardo, mendedahkan bahawa mereka masih belum menerima sebarang tawaran konkrit untuk pemain yang hanya menyertai mereka dua tahun lalu itu dengan bayaran rekod dunia €222 juta (RM1 bilion).

Penyerang Tottenham, Lucas, meninggalkan Brazil untuk menyertai PSG pada 2013 selepas Leonardo membantunya memuktamadkan perjanjian dengan Sao Paulo untuk khidmat pemain sayap tersebut.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak pernah melupakan jasa Leonardo dalam kerjayanya sambil percaya kepulangannya ke PSG akan memberi rangsangan besar kepada kelab berkenaan meskipun dia tidak pasti mengenai masa depan Neymar.

"Ia langkah yang luar biasa," katanya mengenai kepulangan Leonardo ke PSG.

"Beliau adalah seorang sahabat yang banyak membantu saya. Beliau seorang yang luar biasa, sangat pintar, saya pasti beliau akan melaksanakan tugas yang baik buat kelab."

Mengenai Neymar, dia menambah: "Saya tidak tahu, ia situasi yang sukar, dia seorang pemain yang hebat. Saya pasti PSG mahu mengekalkan Neymar tetapi saya tidak tahu apa yang akan berlaku."

Lucas ditemui selepas Tottenham mengalahkan Juventus 3-2 dalam pertemuan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) 2019 di Singapura, di mana dia menjaringkan gol kedua pasukannya dan mencipta gerakan untuk gol luar biasa Harry Kane.

"Ia adalah permainan yang sangat sukar dalam cuaca yang panas," katanya.