Jurgen Klopp menjangkakan Liverpool bakal menandatangani Andy Lonergan menerusi perjanjian jangka pendek sebagai satu tindakan kecemasan di posisi penjaga gol.

Alisson Becker akan tersisih untuk beberapa minggu akan datang ekoran ditimpa kecederaan betis dalam kemenangan 4-1 The Reds ke atas Norwich City, hujung minggu lalu.

Adrian akan menjadi taruhan sempena pertemuan Piala Super UEFA dengan Chelsea, awal pagi Khamis ini, selain memainkan peranan utama sepanjang ketiadaan rakannya dari Brazil itu.

Namun, insiden pergelangan tangan patah yang dialami pemain muda, Caoimhin Kelleher, bulan lalu bermakna Klopp tidak cukup pengganti di posisi berkenaan.

Jadi, tidak hairanlah pengendali itu mula mengalihkan perhatiannya terhadap bekas pemain Preston North End, Bolton Wanderers dan Leeds United itu.

Pemain berusia 35 tahun tersebut berlatih dengan Liverpool sepanjang musim panas lalu dan berjaya menambat hati pengurus berbangsa Jerman berkenaan dan kini bersedia untuk diletakkan di bangku simpanan menjelang aksi di Istanbul, Turki, pertengahan minggu ini.

"Keadaan kami lebih sukar beberapa minggu lalu ekoran krisis kecederaan, namun Caoimhin Kelleher di landasan tepat untuk pulih sepenuhnya," kata pengurus itu kepada Liverpoolfc.com.

"Dia sudah mula berlatih sejak beberapa hari lalu. Semuanya kelihatan baik tetapi sudah tentu kami harus mencari jalan penyelesaian jangka masa pendek dan jika tiada aral melintang, Andy Lonergan akan diikat.

"Dia pernah menyertai kami. Dia mempamerkan karakter yang cemerlang, dia seorang yang sangat menarik dan banyak membantu kami dalam kempen pramusim. Jadi, sekarang kami memutuskan untuk bekerjasama dengannya."

Aksi terakhir Lonergan adalah ketika mewakili Rochdale dalam kempen Liga Satu musim lalu ketika dipinjamkan daripada Middlesbrough.

Bagaimanapun, Klopp bersedia menamakannya dalam kalangan pemain gantian apabila pasukannya menghadapi Chelsea di Besiktas Park.

"Saya rasa begitu (Lonergan akan berada di bangku simpanan)," katanya. "Saya belum bercakap dengan (jurulatih penjaga gol kelab) John Achterberg. Kami banyak membincangkan soal penjaga gol selain daripada apa yang perlu dilakukan (untuk aksi Piala Super UEFA)!

"Kita tengoklah hasilnya kelak. Kami boleh meletakkkan ramai pemain di bangku simpanan dan saya fikir Andy akan menjadi salah seorang daripada mereka."