Ruben Loftus-Cheek sedar dia perlu mendapatkan kepercayaan Maurizio Sarri untuk mengesahkan tempatnya dalam skuad Chelsea.

Pemain England berusia 22 tahun itu dilaporkan mahu kekal di Stamford Bridge musim ini selepas kembali daripada tempoh pinjaman di Crystal Palace.

Pengendali The Blues yang baru, Sarri, menyifatkan Loftus-Cheek sebagai seorang pemain hebat yang mempunyai potensi cerah untuk berada dalam skuad utama.

Bagaimanapun, pemain yang dilahirkan daripada skuad belia Chelsea ketika di bawah bimbingan Jose Mourinho, Guus Hiddink dan Antonio Conte itu menegaskan dia hanya mahu mencapai sasaran peribadi.

"Ketika ini, saya berada di Chelsea, minda saya mahu bermain di sini dan meningkatkan diri," katanya.

"Saya akan beraksi dan meningkatkan kemampuan. Tidak kira siapa sahaja pengurus pasukan, ia tidak mengubah corak permainan saya.

"Saya akan sentiasa melakukan yang terbaik dan fokus untuk meningkatkan diri tetapi pengurus yang akan membuat keputusan. Saya mahu fokus kepada aksi sendiri terlebih dahulu.

"Masih banyak aspek yang boleh saya tingkatkan, jadi saya akan terus berusaha dan diharapkan saya mampu melakukannya musim ini."

Persembahan Loftus-Cheek dalam Piala Dunia ternyata menarik perhatian Sarri yang percaya pemain tengah itu mampu mengharungi tempoh yang panjang dalam karier bersama Chelsea.

"Dia harus meningkatkan diri daripada sudut taktikal.

"Namun, saya tidak rasa ia satu masalah. Dia masih muda.

"Saya yakin dia akan menjadi pemain yang bagus untuk kami," ujar Sarri.