Kapten Tottenham, Hugo Lloris, berkata adalah lebih penting memastikan pemain sedia ada kekal daripada membawa masuk muka baru susulan kritikan dilontarkan rakan sepasukan, Danny Rose.

Rose meluahkan rasa tidak puas hati terhadap aktiviti perpindahan Tottenham dalam satu temu bual minggu ini apabila tidak mencari pemain baru selepas penjualan Kyle Walker ke Manchester City.

Bek kiri Tottenham itu -- yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Chelsea -- turut mengesa Mauricio Pochettino untuk mendapatkan pemain bintang, bukannya pemain yang tidak dikenali.

Bagaimanapun, Lloris bangkit mempertahankan polisi kelab itu dengan menegaskan mereka berjaya memastikan pemain utama, Harry Kane dan Eric Dier, kekal.

"Paling penting adalah memastikan kita kekal dengan kumpulan pemain yang sama," kata pemain antarabangsa Perancis itu.

Tottenham -- yang menamatkan saingan di belakang juara, Chelsea, musim lalu -- bakal memulakan kempen musim ini berdepan Newcastle United, malam ini.