Lupakan David de Gea, Petr Cech dan Thibaut Courtois, Hugo Lloris adalah penjaga gol terbaik Liga Perdana Inggeris, kata rakan sepasukan Tottenham, Eric Dier.

Selepas menjadi watak utama dalam persaingan takhta liga musim lalu, kapten pasukan, Lloris, sekali lagi menjadi watak utama selepas tidak dibolosi dalam empat perlawanan ketika seri tanpa jaringan berdepan Bournemouth.

LLoris sekali lagi memainkan peranan penting buat Tottenham, yang hanya bolos empat gol daripada sembilan perlawanan dan menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam saingan liga musim ini.

Dier menaburkan pujian kepada pemain kebangsaan Perancis itu: "Pada saya, dia merupakan penjaga gol terbaik dalam liga ini.

"Lloris tidak mendapat penghargaan seperti penjaga gol yang lain. Saya tidak tahu mengapa, mungkin kerana Lloris hanya berminat untuk memberikan tumpuan kepada aksinya.

"Dia telah mempamerkan aksi yang konsisten sejak musim lalu. Kami dapat lihat dia mengulangi prestasi cemerlang itu.

"Saya tidak berasakan ada sesiapa yang lebih bagus daripada Lloris."