Kapten Tottenham, Hugo Lloris, memohon maaf selepas didenda kerana memandu ketika di bawah pengaruh alkohol.

Polis Metropolitan mengesahkan penjaga gol itu telah didenda ketika melakukan hentian rutin di tengah London untuk pemeriksaan.

Lloris telah diikat jamin untuk kembali ke Mahkamah Majistret Westminster pada 11 September ini.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang telah mengetuai Perancis meraih kejayaan menjulang Piala Dunia bulan lalu, memberikan maklum balas terhadap hukuman yang diterima.

"Saya memohon maaf kepada keluarga, kelab, rakan sepasukan, pengurus serta penyokong saya," kata Lloris.

"Memandu ketika di bawah pengaruh alkohol tidak boleh diterima, saya bertanggungjawab di atas perbuatan ini dan tidak mahu dicontohi oleh orang lain."

Tottenham menegaskan Lloris turut berdepan hukuman daripada kelab di atas perbuatannya itu.

"Kelab mengambil serius hal ini dan bakal diurus secara dalaman," kata satu kenyataan yang dikeluarkan Spurs.

Lloris akan memulakan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Spurs bagi musim 2018-19 dengan pasukannya bakal berdepan Manchester United, Isnin ini.