Pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, memberi jaminan kapten kelab itu, Hugo Lloris, akan mengikut jejak Harry Kane menandatangani kontrak baru.

Kane menurunkan tandatangannya pada Khamis, sekaligus bakal kekal di White Hart Lane sehingga tahun 2022 dan dilaporkan bakal menerima bayaran gaji antara yang tertinggi di kelab itu.

Pochettino kini berharap Kane dapat kembali meletakkan Spurs dalam landasan perebutan kejuaraan selepas gagal menewaskan Leicester City, Arsenal dan Chelsea sebelum ini.

"Ini adalah berita baik untuk penyokong kami dan pasukan ini. Kami sangat gembira kerana sekali lagi Harry menampakkan komitmen tinggi terhadap perjalanan kelab ini.

"Ini juga satu petanda baik buat pemain itu kerana dia kini mampu kekal tenang dan hanya perlu fokus dalam memperbaiki permainannya.

"Apabila pemain terlibat dengan perbincangan kontrak, senario itu mampu mengganggu fokus. Bagaimanapun, segalanya sudah selesai, jadi penting untuk dia kembali melakar namanya selaku penjaring.

"Selama dua setengah tahun saya di sini, saya telah membuktikan bahawa Harry sentiasa berada dalam perancangan saya. Dia bukan sahaja penting secara taktikal, bahkan juga kepada masa depan Tottenham."

Kane menyertai Christian Eriksen, Eric Dier, Danny Rose dan Kyle Walker yang telah pun komited untuk membantu Spurs musim ini dengan Lloris dijangka akan menyusul.

Pochettino berkata: "Mungkin dalam tempoh beberapa hari akan datang ini, kamu akan mendapat berita mengenainya.

"Hugo seorang pemain yang bercita-cita besar tetapi dia gembira berada di sini."