Tottenham Hotspur mengesahkan ketibaan penyerang, Fernando Llorente, dari Swansea City selepas bersetuju dengan kontrak dua tahun yang ditawarkan, selaligus membuat Chelsea berputih mata.

Chelsea adalah antara pasukan yang amat berminat untuk mendapatkan khidmat Llorente sebelum ini, namun bidaan saat akhir daripada Spurs telah mendorong Llorente membuat keputusan untuk menyertai skuad kendalian Mauricio Pochettino.

Kehadiran Llorente pada saat-saat akhir jendela perpindahan merupakan perpindahan kedua dalam masa sehari oleh Spurs, selepas sebelum itu pertahanan, Serge Aurier, tiba dari Paris Saint-Germain (PSG).

“Saya amat gembira untuk menyertai Spurs. Saya datang ke sini untuk membantu pasukan ini meraih kejuaraan.

“Saya dapat melihat mereka berkembang dengan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan walaupun berusia 32 tahun, saya tetap masih mahu belajar dan yakin individu-individu seperti Harry Kane dan Pochettino dapat membantu saya.

“Banyak lagi yang boleh saya berikan buat Tottenham,” katanya.

Llorente menjaringkan 15 gol buat Swansea musim lalu selepas membentuk gandingan mantap bersama Gylfi Sigurdsson, yang terlebih dahulu meninggalkan Swansea untuk berhijrah ke Everton.