EVERTON 0 LIVERPOOL 0

Liverpool merindui sentuhan berbisa Mohamed Salah apabila gagal memanfaatkan peluang merampas kedudukan kedua Liga Perdana Inggeris ekoran buntu tanpa gol dengan Everton dalam pertembungan 'derby' Merseyside, sebentar tadi.


Salah, yang mengumpul 38 gol sepanjang musim ini, terlepas aksi di Goodison Park ini berikutan masalah pangkal paha yang dialaminya dalam kemenangan ke atas Manchester City dalam kempen suku akhir pertama Liga Juara-Juara, pertengahan minggu lalu.

Ketiadaannya menyebabkan barisan kedua yang diturunkan The Reds hilang sengat.

Gandingan Sadio Mane, Dominic Solanke dan Danny Ings -- aksi pertamanya dalam kesebelasan utama selepas 916 hari -- gagal menemui sentuhan penyudah.

Solanke yang diberi peranan utama sambil Roberto Firmino direhatkan di bangku simpanan, melepaskan dua peluang keemasan tatkala perlawanan itu turut dihadiri pengurus England, Gareth Southgate, manakala Loris Karius hanya diuji sekali pada masa kecederaan sepanjang aksi 90 minit itu.

The Toffees lebih gemar bertahan pada awal permainan dan ia tidak membantu kritikan yang dilemparkan penyokong sendiri terhadap Sam Allardyce.

Penyokong tuan rumah mula teruja apabila Cenk Tosun, Seamus Coleman mahupun Dominic Calvert-Lewin berjaya menghadirkan ancaman ke kubu lawan, tiga minit menuju waktu rehat, namun mereka terpaksa lebih kerap bertahan, sekali gus menyekat usaha Liverpool untuk memintas Manchester United.