Jurgen Klopp menjelaskan beliau tidak perlu berfikir panjang mengenai keputusan untuk membawa masuk Xherdan Shaqiri ke Liverpool.

Pemain kebangsaan Switzerland, Shaqiri, menyempurnakan perpindahan ke Liverpool dengan kontrak jangka panjang, mengakhiri tempoh tiga tahun bersama Stoke City yang tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pengendali Liverpool, Klopp, berasakan Shaqiri memiliki kualiti untuk berjaya di Anfield, dengan The Reds membayar GBP13.75 juta (RM73.70 juta) selepas dia menyerlah dalam saingan Piala Dunia.

"Apabila seseorang pemain memiliki kebolehan seperti Shaqiri, anda tidak perlu berfikir panjang dan menyambar peluang untuk mendapatkan khidmatnya," kata Klopp.

"Dia memiliki kepantasan yang amat menakjubkan serta kemahiran yang tinggi ketika mengawal bola.

"Kami adalah perpindahan terbaik buat dia dan Shaqiri perlu memberikan yang terbaik bagi meningkatkan mutu permainannya."

Pengalaman dan kepelbagaian dalam permainan Shaqiri telah menarik minat Klopp, yang telah membawa masuk Naby Keita dan Fabinho ke dalam skuad Liverpool bagi musim 2018-19.

"Shaqiri mampu mengisi kekosongan dalam skuad ini kerana dia boleh bermain di banyak posisi.

"Saya telah mengenalinya ketika di Switzerland dan terutama sekali ketika di Jerman. Dia beraksi cemerlang dalam Piala Dunia dan dia hadir ke kelab dengan kepercayaan serta keyakinan yang tinggi."

Shaqiri memenangi Liga Juara-Juara (UCL) ketika bersama Bayern Munich manakala pemain berusia 26 tahun itu telah bermain untuk Inter dan Basel sebelum ini.