Borussia Dortmund menegaskan Christian Pulisic tidak akan berhijrah meninggalkan kelab dan memaklumkan kepada Liverpool supaya tidak membazir untuk melakukan bidaan.

Pulisic telah bekerja keras untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama skuad kendalian Thomas Tuchel musim ini, menjaringkan dua gol dan melakukan enam bantuan jaringan dalam 16 penampilan.

Prestasi cemerlang pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu telah menarik perhatian bekas pengendali Dortmund, Jurgen Klopp, yang berusaha untuk membimbing semula Liverpool sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bagaimanapun, pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc, berkata Pulisic tidak akan meninggalkan Signal Iduna Park.

"Kami telah menjelaskan beberapa kali bahawa kami tidak akan melepaskan Pulisic," kata Zorc.

"Dia berada di dalam perancangan kami. Liverpool tidak perlu membazir untuk melakukan bidaan."

Pulisic masih memiliki kontrak sehingga 2019 bersama Dortmund tetapi kelab itu akan berbincang untuk melanjutkan kontrak pemain berusia 18 tahun itu.