LIVERPOOL 3 BOURNEMOUTH 0

Hasrat Liverpool untuk mencabar Manchester United di kedudukan kedua liga terus menyala selepas mencatat kemenangan 3-0 dalam aksi di Anfield, awal pagi tadi.


Liverpool hampir meraih pendahuluan seawal minit ketiga apabila Mohamed Salah menerima hantaran Trent Alexander-Arnold dari sebelah kanan, namun tolakan pemain sensasi Mesir itu sipi di sebelah kiri pintu gol pelawat.

Bagaimanapun, skuad kendalian Jurgen Klopp membuka tirai jaringan tiga minit kemudian menerusi Sadio Mane.

Bekas penggempur Southampton itu menyambung bola hantaran Jordan Henderson dengan tandukan yang ditepis oleh Asmir Begovic tetapi bola muntah pantas disambar Mane untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Alex Oxlade-Chamberlain hampir menggandakan kelebihan buat tuan rumah pada minit ke-33 menerusi percubaan dari jarak 20 ela tetapi usaha pemain skuad kebangsaan England itu terkena pemain lawan dan tersasar, membuatkan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Virgil Van Dijk hampir menggandakan jaringan buat The Kop selepas 10 minit aksi bersambung tetapi percubaan jarak jauh pertahanan dari Belanda itu sedikit tersasar melewati palang gol.

Asakan bertali-arus Liverpool dalam babak kedua membuahkan hasil apabila hantaran jauh Alexander-Arnold menemui Salah di dalam kotak penalti dan bekas bintang AS Roma itu menanduk bola masuk melepasi Begovic yang sedikit terkeluar dari kedudukan sebenar untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Jaringan tersebut membolehkan Salah terus selesa di kedudukan teratas senarai penjaring terbanyak dengan 30 gol sambil menjadi pemain pertama dari Afrika yang mencatat jumlah itu dalam Liga Perdana Inggeris.

Dan Gosling berpeluang untuk merapatkan jurang buat pelawat pada minit ke-81 tetapi percubaannya pantas diselamatkan oleh Loris Karius sebelum Roberto Firmino melengkapkan aksi gemilang Liverpool menerusi gol ketiga pada minit ke-89 dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat aksi di Anfield.

Liverpool kini mengutip 70 mata untuk berada di tempat ketiga liga, ketinggalan satu mata berbanding United, namun skuad kendalian Jose Mourinho itu kekurangan dua perlawanan.