Virgil van Dijk menegaskan Liverpool tidak akan memberikan tumpuan terhadap cakap-cakap mengenai potensi mereka untuk bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pelaburan yang besar untuk membawa masuk pemain seperti Alisson, Naby Keita dan Fabinho membenarkan pemerhati bola sepak memilih Liverpool sebagai pencabar utama kepada Manchester City, yang memenangi liga dengan jurang 19 mata bagi musim 2017-18.

Kemenangan 4-0 ke atas West Ham di Anfield, Ahad lalu, menyaksikan Sadio Mane dan Mohamed Salah meneruskan momentum musim lalu

Liverpool kini mendahului carta EPL selepas tamat pusingan pertama tetapi pemain pertahanannya,Van Dijk, berkata skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan akan datang.

"Kami telah melihat media menulis tentang kami sebagai juara baru tetapi kami enggan taksub mengenai perkara itu," kata Van Dijk.

"Sebaliknya kami memberikan tumpuan kepada perlawanan demi perlawanan. Kami mahu bermain dengan cemerlang. Kami mahu mencapai sasaran yang telah ditetapkan, jadi kami perlu bersedia menghadapi sebarang cabaran

"Kami telah melakukan persiapan rapi, kami bersemangat menantikan perlawanan pertama itu dan saya fikir semua orang dapat melihatnya.

"Pemain-pemain lebih mengutamakan kepada perancangan yang telah ditetapkan berbanding kepada pasukan lawan," ujarnya lagi.

Di sebalik membawa masuk pemain-pemain baru dengan pelaburan besar seperti Keita dan Fabinho, Georginio Wijnaldum beraksi di Anfield berdepan West Ham dan pemain tengah Belanda itu menyambut baik kualiti yang dimiliki oleh pemain-pemain baru The Reds.

"Saya sentiasa mahu beraksi," katanya.

"Persaingan di antara pemain-pemain akan membantu membentuk pasukan yang lebih mantap."