Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memberi bayangan akan memperkasakan skuadnya pada Januari nanti susulan kecederaan lutut yang menimpa Danny Ings, secara tidak langsung mengakhiri musim penyerang itu.

Ings akan diketepikan bagi baki kempen musim ini apabila bakal menjalani pembedahan manakala Klopp bakal kehilangan Sadio Mane pada tahun baru nanti kerana terbabit dengan komitmen Piala Negara-Negara Afrika.

Situasi itu mendesak pengurus berbangsa Jerman itu untuk mempertimbangkan pasaran pemain pada Januari nanti dengan mengatakan langkah itu mungkin satu pilihan.

"Kami sentiasa memantau pasaran pemain dan sudah tentu, kami perlu bersedia dalam situasi berbeza dan salah seorang daripadanya tercedera," kata Klopp.

"Kami menyedari mengenai Piala Negara-Negara Afrika, jadi kami tidak terkejut. Tapi, ia boleh jadi tempoh di mana kami memasuki pasaran pemain."

Klopp berasa bimbang dengan jadual padat yang bakal dihadapi pasukannya yang kini menghuni tangga ketiga liga.

Ketika ini, beliau memiliki pilihan di bahagian serangan dengan barisan pemain seperti Roberto Firmino, Daniel Sturridge dan Divock Origi. Dengan ketiadaan Ings, Klopp mahukan pilihan yang lebih ramai.

"Ia bukan berkenaan berapa ramai penyerang. Tiga penyerang sudah memadai, tapi apabila Sadio tiada nanti, kami tidak akan mempunyai pemain sayap. Kami tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian itu," katanya.

"Roberto Firmino boleh bermain di posisi itu dan sekaligus meninggalkan kami dengan dua penyerang. Itulah situasinya.

"Januari masih jauh lagi dan jadual bulan itu sangat padat. Jika kami berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), ia akan menjadi bulan paling sibuk kami dalam tempoh sepanjang tahun. Kami perlu membuat persediaan."