LIVERPOOL 4 WEST HAM 1

Jurgen Klopp memuji kemenangan Liverpool ke atas West Ham United 4-1 sebagai "kegembiraan kepada semua yang menonton" selepas pasukannya mendaki ke tangga kedua Liga Perdana.


Buat sekian kalinya, The Reds bergantung kepada trio berbisa Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane, atas kesemua gol tersebut selepas tandukan Emre Can pada separuh masa pertama memecah kebuntuan perlawanan.

Ia adalah permainan penuh dengan peluang dan menyerang, dengan gol pemain gantian The Hammers, Michail Antonio, memastikan perlawanan tidak berlangsung berat sebelah.

Sehubungan itu, Klopp memuji persembahan di Anfield awal pagi tadi dan dalam masa sama, Liverpool merampas tangga kedua kelayakan Liga Juara-Juara daripada Manchester United yang akan menentang Chelsea malam ini, manakala sebelum itu Tottenham Hotspur bertandang ke Crystal Palace.

"Ketika saya bangun pagi ini, saya tidak mengharapkan permainan seperti ini. Ia adalah kegembiraan untuk semua yang menonton," kata Klopp dalam petikan yang dilaporkan oleh BBC Sport.

"Ia aksi sengit, agresif, marah, penuh dengan keinginan, saya melihat semua yang saya ingin lihat dalam permainan bola sepak, tidak selalu anda dapat menyaksikannya.

"Kami menjaringkan gol daripada situasi bola mati. Anda pernah bercakap dengan saya mengenai situasi bola mati yang kami hadapi, alangkah baiknya kali ini kami juga menyumbat gol melaluinya.

"Mampukah kami kekal di tempat kedua? Itu bergantung kepada keputusan lain, ketika ini kami tidak perlu risau," katanya.

Jaringan Can itu merupakan gol ke-100 Liverpool musim ini dalam semua pertandingan sambil Salah melanjutkan gol peribadinya kepada 31.