Bekas pengendali, Rafael Benitez, menjelaskan kelab-kelab yang kaya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Manchester United, Chelsea dan lain-lain menyukarkan peluang untuk Liverpool memenangi gelaran.

Benitez akan bertemu semula dengan Liverpool dalam pertemuan dengan Newcastle United di St James' Park, malam ini.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu bersama The Reds selama enam musim, membantu mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL), hampir menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2008-09 – tapi mengakhiri saingan di tempat kedua di belakang United.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu merupakan antara pasukan pilihan untuk diangkat sebagai juara EPL bagi menamatkan kemarau 28 tahun tetapi Benitez meragui peluang kelab itu, dengan mempercayai mereka memerlukan keajaiban seperti Leicester City bagi musim 2015-16.

"Ketika saya tiba di Liverpool, ia kelab yang memberikan GBP20juta (RM113 juta) untuk perbelanjaan pasukan. Selepas saya meninggalkan kelab, ia masih berbaki GBP17 juta (RM96 juta), tetapi masih terdapat pihak yang menyatakan bahawa saya perlu memenangi gelaran, saya perlu bersaing," katanya.

"Jika terdapat pasukan yang tidak beraksi dengan cemerlang, anda mampu melakukannya. Kami telah menamatkan saingan dengan 86 mata dan menduduki tangga kedua. Mengapa? Kerana United beraksi cemerlang.

"Leicester menjulang gelaran EPL kerana terdapat tiga atau empat pasukan gagal beraksi dengan cemerlang."

Tambah Benitez, "(Manchester) United memiliki perbelanjaan tambahan sebanyak GBP50 juta (RM582 juta) setiap tahun, tetapi saya perlu bersaing dengan mereka setiap tahun. Selepas itu, Chelsea pula hadir.

"Pada ketika itu, Chelsea, Arsenal dan Manchester United. Kini Manchester City dan Tottenham, kemudian PSG dan banyak lagi.

"Terdapat banyak kelab yang memiliki wang dan Liverpool sentiasa di belakang.

"Bagaimana kamu hendak menjuarai gelaran? Anda perlu mencipta pasukan yang kuat dan bekerja keras untuk mencapai ke tahap itu," katanya lagi.

Liverpool sedang menduduki tangga keenam dan ketinggalan lapan mata kepada pendahulu liga, Manchester United dan City.