Simon Mignolet menyedari Liverpool akan mencari jalan untuk mengekang Romelu Lukaku dalam aksi 'derby' Merseyside, esok.

Liverpool menerima kunjungan Everton bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan The Reds berharap untuk mengekalkan rekod untuk tidak tewas kepada musuh setempat itu sejak 2010.

Mignolet mahu memastikan rekod itu kekal walaupun Lukaku kini berada di tahap terbaik setelah mendahului carta penjaring terbanyak dengan 21 gol setakat ini.

"Lukaku mengharungi musim yang baik dan kami perlu mengekangnya dalam perlawanan ini," kata Mignolet.

"Dia berkebolehan menjadi pemain terbaik di England. Dia memiliki kekuatan, sentuhan penyudah dan merupakan pemain yang berpengaruh di Everton."

Mignolet menegaskan skuad kendalian Jurgen Klopp perlu mencari kemenangan kerana mahu memastikan sasaran beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim hadapan, tercapai.

"Kemenangan ini bukan sahaja memberikan tiga mata penuh, ia memastikan kami masih bersaing untuk kami menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik di dalam liga.

"Kami menyedari terdapat banyak persaingan, kami akan terus memberikan saingan sehingga penghujung musim ini."