Bekas pemain sayap Manchester United, Ryan Giggs, percaya Liverpool mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini, juga untuk beberapa tahun akan datang.

The Reds masih memburu kejuaraan pertama liga sejak era Liga Perdana bermula pada tahun 1992.

Liverpool sebelum itu 18 kali muncul juara Divisyen Satu England.

Bagaimanapun, dengan ketiadaan aksi bola sepak Eropah, Giggs menjangkakan pasukan kendalian Jurgen Klopp mampu mencabar kelompok atasan liga di samping percaya kelab itu akan terus-menerus menghadirkan kejayaan pada tahun akan datang.

"Liverpool telah meletakkan diri mereka sebagai pencabar utama tahun ini," Giggs memberitahu The Telegraph.

"Pada saya, jika mereka berjaya menjuarai liga, kejayaan itu akan hadir untuk tahun berikutnya.

"Meskipun sukar untuk satu pasukan masa kini mendominasi liga seperti mana dilakukan United pada tahun 1990 hingga 2000, saya yakin Liverpool tidak akan berpuas hati dengan satu kejuaraan liga sahaja. Saya tahu mereka mahukan lebih daripada itu."