Xabi Alonso hanya ada kata-kata manis buat bekas kelabnya, Liverpool, sehari selepas mengumumkan persaraan.

Pemain tengah Bayern Munich itu mengumumkan kelmarin bahawa dia akan menggantung but sebaik musim ini berakhir.

Liverpool bersama-sama dengan ribuan penyokong memberikan penghormatan kepada Alonso dan pemain berusia 35 tahun itu membalas dengan berkata tahun 2004-09 bersama kelab itu adalah saat istimewa dalam kariernya.

Dia teringat kembali saat menjuarai Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2005 di Istanbul bersama The Reds, dan berharap dapat berundur dengan satu lagi kejuaraan Eropah bersama Bayern, musim ini.

"Masa saya di England cukup istimewa," dia memberitahu wartawan menjelang aksi Bundesliga berdepan Eintracht Frankfurt, hari ini.

"Ketika itu, saya baru berusia 22 tahun, itu adalah kali pertama saya hidup sendirian di tempat asing.

"Namun, dalam tahun pertama, saya mulai sedar betapa istimewanya Liverpool. Dari hari pertama lagi, kamu akan menyedarinya.

"Saya sangat bertuah kerana dapat beraksi dalam final Liga Juara-Juara dan memenanginya.

"Saya berharap peluang itu akan hadir lagi musim ini."

Selepas mengesahkan persaraan, Liverpool mengeluarkan kenyataan memuji kejayaan bekas pemainnya itu di laman sosial.

Bekas kapten, Steven Gerrard, yang kini bertindak sebagai jurulatih akademi, turut memberi penghormatan terhadap Alonso.

Tweet