Jurgen Klopp mencadangkan Liverpool mungkin menjadi kelab terakhirnya sebelum bersara.

Pengurus berusia 49 tahun itu memulakan kerjaya kejurulatihan dengan Mainz dan bertugas selama tujuh tahun di Arena Opel sebelum mula membimbing Borussia Dortmund (BVB) pada 2008.

Dia juga bertugas di BVB selama tujuh musim dengan memenangi dua kejuaraan Bundesliga, sebelum meletak jawatan pada akhir kempen 2014-15.

Klopp berkata dia tidak berniat untuk memainkan peranan jangka pendek dan mengakui bahawa jawatan pengurus di Anfield boleh menjadi destinasinya yang terakhir.

"Saya tidak akan mengendalikan 10 kelab berbeza sebaik kerjaya pengurusan saya berakhir," katanya kepada Sport1.

"Tidak mungkin saya akan melompat kelab secara tiba-tiba.

"Sebaliknya, ia sentiasa agak mudah bagi saya untuk melakukannya dengan projek jangka panjang."

Klopp terlepas memenangi kejuaraan pada musim sulungnya bersama Liverpool selepas tewas dalam kedua-dua perlawanan akhir -- Piala EFL dan Liga Europa -- namun dia berharap dapat memenangi sekurang-kurangnya satu trofi sebelum kontraknya berakhir pada 2022.

"Jika saya memenuhi kontrak saya dengan Liverpool, maka ada peluang yang baik untuk saya memenangi sesuatu di sini," katanya.

"Saya akan berasa dalam situasi tidak selesa andai kami gagal memenangi apa-apa. Penyokong mengharapkan Liverpool untuk memenangi trofi."