Liverpool memulakan aksi persahabatan pra-musim dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Tranmere Rovers di Prenton Park.

Rembatan deras Marko Grujic dan penyudah jarak dekat oleh Pedro Chirivella serta dua jaringan penalti yang disempurnakan James Milner dan Ben Woodburn sudah memadai buat skuad kendalian Jurgen Klopp meraih kemenangan.

Ketua pasukan, Jordan Henderson, beraksi dalam separuh pertama sejak diketepikan pada 11 Februari lalu dalam kemenangan 2-0 ke atas Tottenham Hotspur akibat masalah kaki.

Klopp menamakan barisan terkuatnya dengan mengetengahkan Joel Matip, James Milner, Georginio Wijnaldum, Henderson, Daniel Sturridge dan Roberto Firmino manakala pemain baru, Mohamed Salah, tidak dapat diturunkan kerana masalah permit kerja.

Milner memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi sepakan penalti selepas Sheyi Ojo dijatuhkan oleh penjaga gawang, Scott Davies.

Grujic kemudian menghasilkan detik terbaik perlawanan, empat minit menuju waktu rehat dengan melepaskan rembatan padu dari jarak 25 ela.

Klopp kemudian menukar 10 pemain dalam separuh masa kedua serta mempertaruhkan muka baru, Dominic Solanke, dan bekas pemain Chelsea itu terlibat dalam gol ketiga The Reds: Dia memaling lalu melepaskan tendangan sebelum ditepis oleh Davies, namun Chirivella menyambut bola muntah itu.

Woodburn meraikan gol keempat apabila dengan yakin menyempurnakan sepakan penalti selepas dikasari dari belakang dan Lazar Markovic terlepas peluang terbuka untuk melebarkan kedudukan kepada 5-0.

Mereka akan berdepan Wigan Athletic, hujung minggu ini, sebelum memulakan saingan kempen Trofi Liga Perdana Asia menentang Crystal Palace.