Pemain Liverpool, Sadio Mane, percaya pasukannya layak memenangi pertemuan dengan Watford kelmarin, namun tidak memberikan sebarang alasan selepas sekadar mencatat keputusan seri 3-3 dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Mane menjaringkan gol penyamaan buat The Kop selepas Stefano Okaka membuka tirai jaringan buat tuan rumah sebelum Mohamed Salah dan Roberto Firmino meletakkan Liverpool mendahului 3-2.

Bagaimanapun, ketika permainan seakan-akan berpihak buat pelawat, Miguel Britos menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan untuk mencuri satu mata.

Bagi Mane yang menjaringkan gol dalam aksi pertama buat dua musim berturut-turut, dia sedar pasukannya tidak bertahan dengan baik.

“Kami kecewa kerana sepatutnya memenangi perlawanan ini. Pemain-pemain seharusnya bertahan dengan lebih baik dan sudah pasti hantaran-hantaran jauh sentiasa memberikan kesukaran buat kami.

“Liverpool tidak bernasib baik apabila gagal meraih tiga mata tetapi kami adalah pemain profesional dan harus melakukan lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” kata Mane.

Biarpun tanpa Philippe Coutinho yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona, trio serangan Liverpool yang terdiri daripada Salah, Mane dan Firmino masing-masing berjaya menjaringkan gol dan pemain Senegal itu memuji aksi rakan serangannya

“Mereka adalah pemain yang hebat, membuktikan mereka mampu membantu pasukan.

“Saya gembira untuk mereka tetapi seperti saya katakan, kami sepatutnya mampu membawa pulang tiga mata."