TOTTENHAM 1 LIVERPOOL 2

Liverpool meneruskan permulaan cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan kemenangan 2-1 ke atas Tottenham, malam ini.


Georginio Wijnaldum menjaringkan gol di laman lawan buat kali pertama sementara Roberto Firmino menggandakan jaringan buat skuad kendalian Jurgen Klopp itu pada minit ke-54.

Skuad bimbingan Mauricio Pochettino itu pula gagal mencari jalan untuk bangkit selepas tewas 2-1 kepada Watford sebelum bermulanya saingan perlawanan antarabangsa, dengan pemain gantian, Erik Lamela, menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah.

Kini giliran Chelsea dan Watford untuk terus mengikut rentak Liverpool ketika menerima kunjungan Cardiff dan Manchester United, malam ini.

Liverpool hampir mendahului perlawanan seawal minit pertama ketika Firmino menyentuh hantaran silang James Milner untuk menewaskan penjaga gol, Michel Vorm, tetapi Sadio Mane berada dalam kedudukan ofsaid.

Vorm cemerlang apabila hantaran Eric Dier berjaya dipintas Mohamed Salah, dengan sekali lagi memainkan peranan penting dalam ketiadaan kapten pasukan, Hugo Lloris, apabila menafikan gol pendahuluan buat Liverpool.

Wijnaldum berjaya memecah kebuntuan selepas pertahanan Spurs gagal mengeluarkan bola daripada kotak penalti sebelum tamat separuh masa pertama.

Mengasak kubu pertahanan Spurs bagi menambah jaringan, usaha Liverpool berhasil apabila hantaran Sadio Mane berjaya disambar oleh Firmino bagi memastikan tiga mata buat The Reds.