Liverpool mengumumkan telah memeterai perjanjian dengan pemain antarabangsa Roma kelahiran Brazil, Alisson Becker, dengan bayaran yang boleh meningkat kepada £65 juta (RM343.8j), satu perjanjian rekod termahal dunia bagi seorang penjaga gol.

Pemain berusia 25 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran Real Madrid dan Chelsea berikutan persembahan cemerlangnya mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu serta bersama Brazil dalam Piala Dunia 2018.

Bagaimanapun, dia bersetuju menandatangani kontrak jangka panjang di Liverpool selepas The Reds mencapai persetujuan dengan Roma semalam.

Yuran perpindahannya -- awalnya sebanyak £56j (RM296.2j) berserta bonus £9j (RM47.6j) -- mengatasi rekod bernilai £34.7j (RM183.5j) ketika Manchester City membawa Ederson dari Benfica pada 2017, yang merupakan yuran tertinggi dibayar oleh mana-mana kelab untuk mendapatkan khidmat seorang penjaga gol pada masa itu.

Alisson dijangka mengambil alih tugas sebagai penjaga gol nombor satu daripada Loris Karius, yang menerima kritikan hebat atas kesilapannya dibolosi dua gol tidak sepatutnya dalam kekalahan 1-3 UCL kepada Real Madrid pada Mei lalu.

Pemain Brazil itu membuat 37 penampilan Serie A musim lalu dan menyinar semasa membantu kelab itu mara ke separuh akhir UCL, namun terkandas ekoran kekalahan 6-7 secara agregat kepada Liverpool.

"Saya sangat gembira, ini merupakan impian untuk menyarung jersi berprestij di kelab sebesar ini yang selalu mencapai kemenangan," kata Alisson.

"Daripada segi hidup saya dan kerjaya, ini merupakan langkah besar bagi saya untuk menjadi sebahagian daripada kelab dan keluarga ini.

"Yakinlah bahawa bahawa saya akan mencurahkan segala-galanya yang ada."