Liverpool FC menafikan spekulasi bahawa pemilik, John Henry, sedang mempertimbangkan hasrat untuk menjual kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Dengan memetik tiga sumber yang tidak diketahui, New York Post kelmarin mendakwa Henry -- yang juga pemilik juara siri dunia besbol, Red Sox, menerusi syarikat induknya, Fenway Sports Group -- memberi isyarat halus bahawa dia hanya akan melayani tawaran yang berjumlah $2 bilion (RM8.3b) untuk Liverpool.

Laporan itu menggambarkan bahawa Henry sedang menjalankan 'proses penjualan secara senyap-senyap' yang bermaksud ia adalah proses tidak rasmi dengan dia hanya akan melayani tawaran di luar lelongan rasmi.

Jurucakap Liverpool berkata: "Untuk menjernihkan situasi ini, bagi pihak pemilik kelab, saya menafikan spekulasi yang tidak berasas ini.

"Sekali lagi saya ulangi, kelab ini bukan untuk dijual, termasuk 'proses senyap-senyap' atau perkara seumpamanya."

FSG membeli Reds dengan harga $477 juta (RM1.9b) pada 2010 berikutan hubungan Tom Hicks dan George Gillett menjadi keruh.

Pada Jun tahun ini, Forbes menilai Liverpool pada $1.94 bilion (RM8.1b).

Selain Red Sox dan Liverpool FC, Fenway Sports Group turut memiliki 80 peratus saham di rangkaian sukan serantau, NESN, dan 50 peratus saham dalam perlumbaan Roush Fenway Racing NASCAR.

Antara pelabur di FSG termasuk bintang NBA, LeBron James, yang dilaporkan memiliki pegangan saham sebanyak dua peratus.