Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata beliau memiliki skuad yang mampu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

The Reds tidak pernah menjadi juara England sejak 1990, dua tahun sebelum EPL dilancarkan.

Di bawah pengendali terdahulu, mereka telah mencabar dalam perebutan takhta liga -- yang terbaru pada musim 2013-14 di bawah kendalian Brendan Rodgers ketika Manchester City mengakhiri saingan mereka dengan kelebihan dua mata ke atas Liverpool.

Sejak Klopp mengambil alih tugas Rodgers di Anfield pada Oktober 2015, kelab itu telah kembali menjadi pesaing utama gelaran dalam kancah bola sepak Inggeris dan pengendali dari Jerman itu percaya bahawa tahun ini mungkin tahun mereka untuk mencipta kejayaan.

"Kami bukan pasukan 25 tahun yang lepas. Kami adalah generasi yang ada sekarang," katanya kepada Sky Sports.

"Kami sangat menghargai usaha orang terdahulu yang mencipta kelab ini, kami tidak boleh melakukan tugas mereka. Kami memiliki tugas yang tersendiri.

"Liverpool memiliki kualiti untuk bersaing dengan kelab-kelab gergasi," tambahnya.

Pengendali berusia 49 tahun itu yakin Liverpool mampu mempertahankan tonggak utama pasukan daripada menyertai kelab-kelab elit di Eropah.

"Kami mempunyai pemilik yang tidak mahu menjual pemain-pemain.

"Tiada pemain yang harus meninggalkan kelab demi wang. Kami bukan kelab yang memberikan gaji paling lumayan di dunia, tetapi kami membayar dengan secukupnya untuk memastikan pemain kekal bersama pasukan.

"Ini merupakan skuad terbaik Liverpool, masa depan pasukan sangat cerah untuk mencipta kejayaan."