Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan pasukannya hanya berhak berada di tangga kesembilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila terus mempamerkan permulaan buruk musim ini dengan kekalahan 4-1 di tangan Tottenham di Wembley, malam tadi.

Harry Kane menjaringkan dua gol, selain Son Heung-min dan Dele Alli masing-masing menyumbat satu gol untuk menghukum pertahanan dan penjaga gawang The Reds, Simon Mignolet.

Klopp menarik keluar Dejan Lovren selepas hanya setengah sejam dalam kekalahan yang mengakibatkan mereka ketinggalan 12 mata kepada Manchester City dan berada di belakang pasukan seperti Watford, Newcastle United dan Burnley dalam liga.

Liverpool telah bolos 16 gol dalam sembilan perlawanan -- rekod pertahanan terburuk mereka pada peringkat ini sejak 1964-65 dan Klopp berterus terang ​​tentang apa yang pasukannya berhak terima.

"Kami tidak perlu bercakap mengenai empat teratas," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Kami berada di tempat kami, kami layak dengannya. Jika Tottenham bijak mengatasi kami, maka tiada perdebatan.

"Tetapi apabila kami melakukan kesilapan, kami perlu perbaiki, terlalu mudah untuk Tottenham, terlalu mudah.

"Anda tidak boleh meraih keputusan seperti ini menentang Tottenham. Saya tidak mahu mengatakan apa-apa yang positif tentang kami. Apa yang dikatakan negatif tentang kami, ia betul, kami silap. "

Klopp mengkritik Lovren dalam temubual awal selepas perlawanan -- mengatakan walaupun dia sepatutnya perlu melakukan tugas lebih baik mengekang Kane untuk gol kedua Spurs -- tetapi berminat untuk tidak menyalahkan pemain dari Croatia itu.

"Saya tidak mahu menyalahkan pemain," kata Klopp.

"Dejan (Lovren) tidaklah lebih buruk daripada orang lain. Kami terpaksa menukar sesuatu, membuat perkara lebih stabil.

"Saya belum bercakap dengannya lagi, saya membuat satu pertukaran dan ia tidak memberi perbezaan, kami masih melepaskan dua gol," tambahnya.