Steven Gerrard menerima hakikat Liverpool akan merindui pemain bola sepak hebat seperti Philippe Coutinho selepas pemain Brazil itu secara rasminya melengkapkan perpindahan impiannya ke Barcelona, semalam.

Liverpool berjaya mengelak beberapa bidaan pada Ogos lalu, namun kali ini, pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu terpaksa membenarkan perancang itu untuk berpindah ke Camp Nou dan menjadi pemain termahal Barca dalam jendela perpindahan bulan ini.

Gerrard, yang sempat bermain dengan Coutinho pada penghujung kariernya di Anfield, percaya ia akan menjadi sukar untuk mencari pengganti pemain berusia 25 tahun berkenaan yang merakamkan 41 gol liga bersama Liverpool.

"Saya masih menyukainya sebagai peminat Liverpool," kata jurulatih akademi kelab itu, Gerrard, kepada BT Sport.

"Saya tidak terkejut dengannya. Saya tahu Liverpool telah melakukan segala yang terdaya untuk memastikan dia kekal sehingga musim panas ini.

"Namun, apabila seorang kanak-kanak mencapai impian, khususnya dari Amerika Selatan, dia mahu bermain untuk Barcelona dan dia fikir ini satu-satunya peluang yang akan dia perolehi, maka sangat sukar untuk menyekatnya.

"Tidak ada keraguan tentang hal itu, Liverpool akan merinduinya. Dia seorang pemain bola sepak yang hebat, seorang yang hebat dan untuk bersikap adil kepadanya, dia tidak pernah beraksi separuh hati. Saya menghormati keputusannya dan mengucapkan selamat berjaya," katanya.

Pasukan kendalian Jurgen Klopp itu telah dikaitkan dengan beberapa pemain, termasuk pemain sayap Leicester City, Riyad Mahrez, dan pemain antarabangsa Perancis bersama Monaco, Thomas Lemar, untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Coutinho itu sambil Gerrard menyokong tindakan kelabnya untuk membelanjakan wang dengan bijak.

"Liverpool akan terus maju," tambah Gerrard.

"Mereka mendapat banyak wang daripadanya dan saya pasti mereka akan menggantikannya dengan pemain yang tepat."