Liverpool akan hukum barisan muda Chelsea, kata Heskey

By Staff Writer 20 September 2019
Liverpool akan hukum barisan muda Chelsea, kata Heskey
Emile Heskey memuji pengurus Chelsea, Frank Lampard, atas komitmennya menaruh kepercayaan kepada pemain muda tetapi meramalkan Liverpool akan meraih keputusan penting ketika bertandang ke Stamford Bridge, Ahad ini. 

Lampard telah meletakkan kepercayaan terhadap produk akademi kelab, Tammy Abraham, Mason Mount dan Fikayo Tomori di peringkat awal musim ini dengan pencapaian yang tidak menentu. 

Chelsea tewas 0-1 kepada Valencia di kandang sendiri dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu, selain telah merekodkan 14 gol dalam tujuh perlawanan awal di bawah kendalian Lampard, namun gagal mengelak daripada dibolosi dalam sebarang perlawanan. 

Sementara itu, Liverpool telah menyumbat 17 gol dalam tujuh perlawanan pembukaan musim ini, hingga Heskey meramalkan pelawat akan meninggalkan Stamford Bridge dengan kemenangan. 

"Saya menjangkakan Liverpool akan menang," katanya kepada Omnisport. "Saya fikir Frank telah melakukan tugasnya dengan baik berikutan berani mempertaruhkan pemain muda. Dia memberikan mereka kebebasan untuk bermain.

"Bagaimanapun, pertahanan mereka tidak pernah bagus dan ketika ini anda bercakap mengenai pasukan yang memiliki serangan terbaik dalam liga, baik Manchester City mahupun Liverpool. 

"Mereka akan menentang Liverpool, jadi ia akan menjadi sangat sukar buat mereka.

"Apabila anda mempunyai (Mohamed) Salah, (Sadio) Mane dan (Roberto) Firmino di jentera serangan, ia akan menjadi detik yang sangat sukar untuk ditangani pasukan kendalian Frank.

"Mereka (The Blues) cenderung melakukan beberapa kesilapan seperti kebanyakan pemain muda lazimnya. Untuk menentang pasukan (yang memiliki reputasi) lebih besar, pasukan yang lebih baik pasti akan memanfaatkannya dan saya mengharapkan kemenangan mereka (Liverpool)."

About Author

Staff Writer

Comment