Jurgen Klopp menegaskan Liverpool akan melabur terhadap pemain berkualiti sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan Eropah musim depan di samping berkata tiada alternatif lain untuk memenangi trofi di Anfield.

Liverpool telah dihimpit kecederaan dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, dengan pemain bintang seperti Sadio Mane, Philip Coutinho, Adam Lallana, Jordan Henderson dan Joel Matip masing-masing menghabiskan banyak masa di bangku simpanan.

Klopp mengakui disebabkan masalah kecederaan melanda musim ini, dia sedar Liverpool perlu aktif dalam jendela perpindahan akan datang, apatah lagi bakal bersaing dalam kejohanan Eropah.

"Kami perlu membentuk skuad yang kuat kerana kami memiliki pemain yang berkualiti," Klopp memberitahu Omnisport.

"Kami memerlukan beberapa pertambahan pemain, apatah lagi bakal beraksi dalam satu lagi kejohanan. Kecederaan pemain dialami musim ini bukan kecederaan disebabkan latihan tetapi ketika perlawanan.

"Jadi, masalah kecederaan seperti ini sukar untuk ditangani. Tetapi seperti saya katakan, membawa masuk pemain baru adalah salah satu inisiatif."

Liverpool masih belum mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara, dengan perlawanan terakhir berdepan Middlesbrough di Anfiled menjadi penentuan.

The Reds kini menduduki tangga keempat, dua mata dibelakang Manchester City tetapi hanya satu mata dipisahkan dengan Arsenal.

Walaupun Klopp berpuas hati bakal menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, namun ia tidak sebaik mengakhiri musim dengan trofi.

"Perkara yang terbaik adalah untuk memenangi Liga Juara-Juara lalu mengesahkan slot ke musim berikutnya," tambah Klopp.