Jurgen Klopp menegaskan Liverpool tidak akan teragak-agak untuk berbelanja besar hujung musim ini demi mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim depan.

Liverpool dilihat antara pencabar Chelsea dalam perebutan kejuaraan awal musim ini sebelum beberapa aksi hambar memasuki tahun 2017 meletakkan mereka di tangga kelima.

Klopp mahu mengelakkan perkara sama berlaku bagi musim 2017-18 dan telah berikrar untuk membawa masuk muka baru bagi mengukuhkan pasukan.

"Kami perlu membuat pembelian yang tepat," ujar Klopp.

"Jika kami beraksi di tahap terbaik, tiada sesiapa yang meminta kami untuk membeli pemain tetapi jika tidak, semua pihak mahu kami melakukan sesuatu.

"Itu adalah senario yang kami hadapi ketika ini dan itulah yang akan kami lakukan, kami akan membelanjakan wang hujung musim ini."

Liverpool membawa masuk Sadio Mane, Georginio Wijnaldum serta Joel Matip tahun lalu dan Klopp mengakui pembelian pemain tidak bergantung kepada kekuatan kewangan semata-mata.

"Ia bukan tentang duit -- kami boleh melamar sesiapa sahaja -- tetapi jika mahukan pemain terbaik, kami perlu menyaingi kelab besar seperti Barcelona atau pasukan lain," tambah Klopp.

"Ada sesetengah pemain yang lebih gemar hidup di London, Manchester atau Liverpool, jadi kami perlu membuat keputusan yang tepat.

"Sudah tentu akan ada muka baharu musim depan, itu perkara biasa."