Jesse Lingard memuji semangat perjuangan Manchester United selepas mereka bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk meraih keputusan seri 2-2 menentang Burnley dalam Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, lewat malam tadi.

Pemain antarabangsa England itu digugurkan daripada kesebelasan utama ketika United seri 2-2 dengan Leicester City minggu lalu tetapi tampil daripada bangku simpanan untuk mencuri satu mata buat pasukannya.

United ketinggalan 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Ashley Barnes dan Steven Defour sebelum Lingard melakukan penyudah daripada hantaran lintang Ashley Young pada masa kecederaan.

Keputusan itu bermakna pemimpin Liga Perdana, Manchester City, boleh menjarakkan diri 15 mata di puncak liga jika mereka mengalahkan Newcastle United pada awal pagi esok.

"Jika kami bermain lima atau 10 minit lagi, kami akan memenangi perlawanan ini," katanya kepada MUTV.

"(Mesej pada separuh masa pertama) selalu kami percaya. Tidak pernah berputus asa. Kami tahu kami mempunyai masa 45 minit lagi untuk bermain, jadi kami harus bersabar dan akhirnya kami meraih dua gol daripada peluang yang kami hasilkan."