Pemain Manchester United, Jesse Lingard, memohon maaf di atas kesilapannya di laman sesawang Twitter yang melibatkan sensitiviti Tragedi Munich.

Semalam merupakan hari peringatan ulangtahun ke-60 buat Tragedi Munich dan pengurus United, Jose Mourinho, serta Sir Alex Ferguson adalah antara tetamu yang hadir dalam upacara memperingati 23 mangsa yang terkorban.

Bagaimanapun, Lingard menerima kritikan selepas mengeluarkan kenyataan mengenai permainan video FIFA ketika jam 3:04 petang, waktu yang sama tragedi pada 1958 itu berlaku, sekali gus membuatkannya tampak tidak menunjukkan rasa hormat.

Situasi itu membuatkan Lingard pantas memohon maaf.

"Salah seorang ahli kepada pasukan media saya telah menulis sesuatu di laman Twitter ketika upacara menghormati Tragedi Munich.

"Saya tidak menyedari akan perkara tersebut kerana sedang menghadiri upacara itu dan kini, ia sudah dipadam.

"Saya ingin memohon maaf jika ia mengguris mana-mana pihak dan ia sesuatu yang tidak boleh diterima. Ia tidak mencerminkan pandangan saya terhadap hari yang penuh makna ini," ujar Lingard.

Turut menghadiri upacara itu adalah kapten United, Michael Carrick, dan dia juga menulis tentang perkara itu di Twitter miliknya.

"Menjadi satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada acara ini. Terima kasih kepada semua yang menghadiri upacara ini di seluruh Eropah. Sokongan anda amat bermakna.

"Jelas sekali legasi Busby Babes memberikan makna yang besar dan sebab itu kelab ini sangat istimewa," kata Carrick.