Paul Pogba menampilkan aksi terbaik dalam pertemuan 'derby' Manchester kerana dia memiliki tanggungjawab untuk menghalang City daripada menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) di hadapan United, dengan menyifatkannya "sama seperti mati."

City mendahului perlawanan 2-0 pada babak pertama perlawanan hasil jaringan Vincent Kompany dan Ilkay Gundogan, dan skuad kendalian Pep Guardiola itu dilihat berada dalam kawalan terbaik untuk menjuarai EPL di hadapan seteru mereka.

Tetapi United bangkit pada babak kedua, dengan Pogba membintangi perlawanan ini dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh 97 saat.

Chris Smalling kemudian meraih gol kemenangan untuk mengejutkan City, selepas harapan mereka menjulang takhta EPL di hadapan United lebur.

Sebelum aksi ini bermula, terdapat khabar angin yang mengatakan Pogba telah ditawarkan oleh ejennya, Mino Raiola, kepada Guardiola pada Januari lalu bagi mengganggu tumpuan pemain itu.

"Saya tidak mahu tewas kepada City. Kekalahan daripada musim lalu masih mengganggu fikiran saya.

"Jika mereka menang, mereka bergelar juara, dan buat penyokong, ia umpama mati. Tewas kepada City dan menyaksikan mereka meraikannya, saya tidak mampu untuk melihat ia terjadi.

"Di bilik persalinan ketika separuh masa, kami berkata kami tidak akan kehilangan apa-apa."