Antonio Conte akan kekal sebagai pengurus Chelsea di sebalik spekulasi akan dipancing Inter Milan kerana cabaran untuk membawa The Blues kembali ke Liga Juara-Juara adalah terlalu sukar untuk ditolak, menurut Marcello Lippi.

Lippi, seperti Conte yang sebelum ini berjaya menjulang Juventus dan Itali, tidak percaya prospek mengendalikan Inter akan menggoda pengurus itu dari Stamford Bridge memandangkan kerjayanya di England masih di peringkat awal.

Walaupun pengurus berusia 47 tahun itu terus menafikannnya, spekulasi masih mengaitkannya dengan perpindahan ke San Siro manakala Diego Simeone turut merupakan seorang lagi calon yang dikhabarkan akan menggantikan Stefano Pioli ekoran pemilik kelab Serie A dari China, Suning, menyasarkan nama besar.

Begitupun, Lippi yang melatih Conte di Juve ketika bergelar pemain, menolak laporan bahawa dia boleh tergoda untuk meninggalkan Chelsea sungguhpun ditawarkan kontrak selama lima tahun bernilai GBP50 juta oleh Inter.

Chelsea, yang menjuarai Liga Juara-Juara pada 2012, tidak layak bertanding pada musim ini kerana mengakhiri kempen lalu di tangga pertengahan liga, dan Conte sedang membawa mereka ke landasan sebenar apabila The Blues menguasai carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Kami bercakap tentang dia kerana dia adalah salah seorang pengurus terbaik di dunia. Bagi saya, dia kelihatan seronok di London," kata Lippi kepada Mediaset Premium.

"Dia mahu membimbing The Blues dalam Liga Juara-Juara pada tahun depan, jadi saya tidak fikir dia akan beralih angin."

Lippi berasakan pengambilalihan Inter dan seteru setempat, AC Milan, sejak tahun lalu adalah langkah-langkah yang perlu diambil supaya kedua-dua kelab kembali daya saing.

"Ia adalah pengambilalihan daripada pemilik yang cintakan pasukannya, iaitu Massimo Moratti dan Silvio Berlusconi," katanya.

"Kelab tidak lagi boleh diuruskan oleh keluarga, ia memerlukan sokongan kewangan dari Arab, China dan Russia."