Arsenal telah menyempurnakan perpindahan pertama di bawah kendalian Unai Emery dengan membawa masuk pertahanan Juventus, Stephan Lichtsteiner.

Pemain kebangsaan Switzerland itu menamatkan masa di Turin selepas membantu Juventus menjulang gelaran Serie A yang ketujuh pada musim 2017-18.

Lichtsteiner merupakan juara Itali dalam setiap kejuaraan yang diraih dan telah melakukan 250 penampilan bersama Bianconeri.

Dia bakal menjadi satu penambahan berpengalaman bagi skuad Emery untuk saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018-19.

"Lichtsteiner membawa masuk pengalaman yang besar dalam skuad," kata Emery.

"Dia seorang pemain berkualiti dan sentiasa positif. Lichtsteiner akan meningkatkan mutu pasukan di dalam dan luar padang."

Lichtsteiner adalah kapten Switzerland dalam saingan Piala Dunia di Russia sebelum berpindah ke London secara percuma.

Pemain berusia 34 tahun itu akan menggunakan peluang terbaik untuk membantu Arsenal mencipta kejayaan.

"Ia merupakan satu saat yang terbaik buat saya selepas Juventus dengan menyertai Arsenal, saya memiliki cabaran yang besar dan mahu melakukan yang terbaik," katanya.

"Ini merupakan satu projek untuk membantu pasukan ini kembali bersama dalam Liga Juara-Juara (UCL).

"Emery adalah seorang jurulatih berpengalaman yang telah memenangi banyak kejuaraan. Seorang jurulatih yang mengetahui apa yang diperlukan untuk mencipta kemenangan," ujarnya.