Aaron Lennon gembira dapat kembali menyertai latihan bersama Everton selepas menjalani rawatan kemurungan, awal tahun ini.

Lennon ditahan oleh pihak polis di bawah peruntukan undang-undang kesihatan mental, namun melaporkan diri dalam sesi latihan pra-musim dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kali terakhir Lennon, 30, beraksi adalah pada Februari lalu dan berterima kasih dengan sokongan yang diterimanya sepanjang tidak beraksi.

"Gembira dapat kembali selepas mengharungi detik sukar. Saya menjalani latihan pada minggu pertama dengan baik dan tidak sabar untuk beraksi," kata bekas pemain sayap Tottenham Hotspur itu dalam satu kenyataan di media sosial.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan dan pesakit di The Priory, Darling dan Altrincham serta semua kakitangan di Hospital Salford Royal.

"Sokongan yang diberikan Everton, Spurs, penyokong, peminat bola sepak dan masyarakat begitu mengagumkan.

"Adalah penting untuk saya menekankan mengenai bantuan hebat yang diterima. Sesiapa yang berasa di luar kebiasaan seharusnya mendapatkan bantuan kerana adalah bagus dapat meluahkannya.

"Terima kasih kepada kakitangan di Everton, rakan sepasukan dan terutama keluarga saya serta orang di sekeliling saya."