LEICESTER 3 HUDDERSFIELD 0

Pengurus Leicester City , Claude Puel, akan membincangkan masa depan Riyad Mahrez selepas pemain sayap bintang itu beraksi cemerlang dalam kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield Town, awal pagi tadi.


The Foxes meraih kemenangan sulung dalam enam perlawanan yang menyaksikan Mahrez menjaringkan gol pembukaan sebelum penyerang, Islam Slimani, dan Marc Albrighton menambah gol pada lewat permainan.

Mahrez mengemukakan permintaan untuk berhijrah pada Mei lalu, namun langkahnya ke Barcelona dan Roma tidak menjadi kenyataan.

Pemain antarabangsa Algeria itu telah menyumbat lima gol dalam sembilan penampilan terakhirnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mungkin kembali menjadi buruan.

Puel berkata dalam sidang akhbar: "Saya suka pemain ini dan saya ingin mengekalkan pemain terbaik kami, kami akan bertanyakannya.

"Saya gembira dengan pasukan yang mempunyai Riyad dan Jamie Vardy, begitu juga dengan yang lain-lain.

"Anda menyebut tentang spekulasi, saya ingin mengekalkan semua pemain terbaik saya. Ia adalah perlawanan yang sangat bagus, permainan hebat daripada Riyad.

"Ia penting untuk mengekalkan kesemua pemain kami," katanya.

Mahrez diberikan ruang yang terlalu banyak ketika menjaringkan gol pembukaan di Stadium King Power.

Justeru, pengurus Huddersfield, David Wagner, menyatakan kekalahan itu adalah bukti sejauh mana bahaya yang dihadapi Huddersfield dalam saingan peringkat tertinggi.

"Anda perlu memberi tumpuan dan menumpukan perhatian untuk mempertahankan situasi bola mati. Kami kehilangan Mahrez dalam situasi ini dan kami memberikan gol itu terlalu mudah," katanya kepada laman sesawang kelab itu.

"Kami sedar dalam EPL, kami tidak dibenarkan membuat kesilapan dan kami perlu menggunakan peluang yang ada jika ingin menghukum lawan.

"Prestasi kami hari ini bagus, namun berlaku beberapa kesilapan kecil di bahagian serangan dan juga pertahanan."