Leicester City menjangkakan komitmen tinggi daripada Riyad Mahrez dan memberi amaran akan meminggirkan pemain sayap berkenaan andai dia gagal membuktikannya, manakala kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak menerima sebarang tawaran ke atas tonggak utamanya itu, kata pengurus, Craig Shakespeare.

Mahrez mengesahkan niatnya untuk meninggalkan juara EPL 2016 itu dengan mengeluarkan satu kenyataan pada Mei lalu, dengan laporan mengatakan Arsenal antara kelab yang berminat.

Namun, sungguhpun Arsene Wenger memuji pemain Algeria itu, Shakespeare mendedahkan Leicester tidak menerima apa-apa tawaran terhadap Mahrez dan akan mengetepikannya jika dia tidak fokus terhadap perlawanan.

"Adalah mengecewakan apabila pemain mendedahkannya kepada umum dan itulah bola sepak moden," kata Shakespeare.

"Adakalanya, pengaruh luar memainkan peranan. Kami memahami hasratnya, tetapi dia terikat dengan kontrak bersama kelab.

"Jika dia terpilih, dia harus memperagakan kemampuannya dan jika dia tidak menunjukkan komitmen, maka dia tidak akan beraksi.

"Dia mempunyai kontrak dengan kami, oleh itu dia harus sedia maklum mengenainya."

Walaupun khabar angin mengenai minat daripada Arsenal, Shakespeare menegaskan Leicester tidak menerima sebarang tawaran.

"Kami tidak mendapat apa-apa tawaran ke atas Mahrez, kalau tiada satu pun maka kami tidak perlu membuat apa-apa keputusan.

"Saya kenal dengan Mahrez, dia hanya mahu bersikap jujur.

"Ia akan mengecewakan peminat namun saya perlu bertentang empat mata dengannya untuk mengetahui apa yang difikirkannya dan apa perasaannya. Hubungan di antara kami baik.

"Kalau seseorang pemain ingin berpindah, mereka masih mempunyai kontrak dan perlu mematuhinya."