Daripada menjadi raja kepada Leicester kepada pengurus yang dipecat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Claudio Ranieri secara sensasinya hilang jawatannya sehingga meraih sokongan daripada rakan sejawatannya, termasuk Jose Mourinho dan Luciano Spalletti.

Tiada sentimen buat Leicester City dalam mengambil keputusan itu selepas memecat jurulatih yang membantu mereka memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), musim lalu.

Ranieri mengejutkan dunia bola sepak moden dengan merangkul kejuaraan EPL tatkala skuad bimbingannya, The Foxes, yang langsung tidak diberi harapan, terpaksa bersaing dengan kelab-kelab EPL yang berbelanja mewah.

Mourinho, yang sebelum ini menggantikan Ranieri -- yang digelar Tinkerman -- di Chelsea pada 2004, turut mengalami nasib yang serupa musim lalu sejurus membawa kejayaan liga kepada The Blues pada musim sebelumnya.

"Juara England dan Jurulatih Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 dipecat," menurut Mourinho dalam laman sosial rasminya, Instagram.

"Itulah bola sepak baru Claudio. Teruskan tersenyum AMICO. Tiada siapa yang boleh memadam sejarah yang telah anda lakar."

Tindakan drastik Leicester itu turut mendapat kritikan jurulatih AS Roma, Luciano Spalletti, yang melahirkan kesedihannya selepas rakan senegaranya itu dipecat, hanya sembilan bulan selepas menjuarai EPL.

"Tidak mengenang budi, dialah yang membentuk pasukan itu dan keserasian mereka, yang membantu mereka mencapai kejayaan memenangi gelaran tahun lalu," kata Spaletti, 65.

"Apabila anda menang dengan cara sebegitu, jika anda berfikiran waras, anda juga boleh menerima kemungkinan akan tersingkir.

"Di antara memenangi gelaran dan penyingkiran, ia tidak adil dari segi kegembiraan dan keputusan.

"Kelab itu tidak harus menyalahkan sesiapa, mereka mengekalkan apa yang ada dan mereka bertanggungjawab di atas apa yang berlaku. Sebaliknya, bola sepak berakhir dengan cara berbeza.

"Saya mengatakannya sedemikian kerana pernah mengalaminya.

"Saya bersimpati dengan Ranieri memandangkan dia tinggal di Kota Rom. Kalau dia mahu melawat kami, kami akan menyambutnya dengan penuh rasa gembira agar dia dapat membantu kami dari segi pengalaman."

"Selepas apa yang dilakukan Claudio Ranieri untuk Leicester City, memecat dia adalah sukar diterima.

"Ia tidak boleh dimaafkan dan sangat-sangat sedih melihatnya dipecat," kata bekas bintang England, Gary Lineker.