Pengurus Leicester City, Claude Puel, berseloroh bahawa Manchester United sengaja mencetuskan minat terhadap Harry Maguire semata-mata untuk menimbulkan "masalah" menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara kedua-dua pasukan.

The Red Devils dipercayai berminat untuk memperkasakan pertahanan mereka dengan mendapatkan khidmat Maguire, 25, yang tampil cemerlang bersama England dalam Piala Dunia 2018.

Puel, bagaimanapun, telah berkali-kali menegaskan bahawa pertahanan tengah berkenaan tidak akan dijual, sekali gus menggambarkan betapa berharganya dia memandangkan Leicester sudah pun kehilangan Riyad Mahrez ke Manchester City.

Situasi itu mampu mencetuskan hubungan tegang di antara kedua-dua kelab yang bakal bertemu bagi aksi sulung Liga Perdana pada awal pagi Sabtu depan.

Bercakap kepada Sky Sports, pengurus Foxes itu tertawa sambil berkata: "Saya fikir United mungkin mahu mencetuskan masalah sebelum pertemuan kami!

"Ia bukan perkara yang boleh memberi masalah kepada kami, namun adalah lebih baik dia bersama kami.

"Adalah menjadi matlamat kami untuk memastikan dia kekal. Ia bukan sesuatu yang bagus jika kami kehilangannya beberapa hari sebelum permulaan musim ini kerana ia boleh menjejaskan keyakinan skuad dan kelab."

Maguire dan rakan sepasukan England, Jamie Vardy, bakal terlepas kunjungan ke Old Trafford ekoran kesuntukan masa untuk membuat persiapan selepas mengharungi kempen Piala Dunia di Russia.

Khidmat pemain baru yang ditandatangani, Jonny Evans, yang diturunkan ketika seri 1-1 dengan Valencia, Rabu lalu juga diragui akibat kecederaan.